Penjawat awam sambut baik manifestasi solidariti penjawat awam

0
1
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

CUEPACS menyokong penuh manifestasi solidariti penjawat awam sebagai tanda kebersamaan penjawat awam menyokong usaha kerajaan memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19.

Melalui solidariti diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati penjawat awam akan disumbang kepada Akaun Amanah Bencana.

Sumbangan daripada lebih 800,000 penjawat awam tidak termasuk petugas serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata inisiatif itu secara keseluruhannya disambut baik oleh penjawat awam yang terlibat.

Bahkan katanya, CUEPACS percaya kebanyakan penjawat awam terlibat secara aktif dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan, sama ada melalui NGO, pusat zakat atau secara persendirian walaupun inisiatif ini tidak dilaksanakan.

“Penjawat awam yang tidak terlibat dengan inisiatif ini juga tidak terkecuali dalam memberi sumbangan kepada rakyat dan negara sama ada melalui bentuk kewangan atau pun tenaga mereka.

“CUEPACS juga berharap semua pihak tidak menjadikan inisiatif kebersamaan penjawat awam ini sebagai isu untuk menyerang kerajaan atau perkara yang boleh mencetuskan perbalahan.

“CUEPACS menyeru semua pihak agar terus bersama dengan rakyat dan kerajaan dalam memastikan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ini dapat dijayakan dalam tempoh pelaksanaan PKP penuh ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here