Elaun, imbuhan keraian menteri juga perlu dipotong – Mohamad Hasan

0
1
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim Tok Mat

PROGRAM Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, perlu dilaksanakan tanpa berlengah, dengan telus, amanah dan cekap, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyentuh beberapa perkara berhubung insentif yang diumumkan melalui program berkenaan.

Menurutnya, meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah intervensi kritikal pada masa ini kerana Malaysia sangat memerlukan lebih banyak Unit Rawatan Rapi (ICU), sumber tenaga dan program vaksinasi.

“Menyedari kekangan fiskal kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan untuk peningkatan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya.

“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran.

“Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda. Kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi insentif penerusan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.

Katanya, kerajaan dilihat sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat.

“Mungkin strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.

“Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan saksama. Mereka yang memerlukan wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya.

Mohamad berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan pula disambut baik.

“Namun ia janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para Menteri.

“Kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here