POLIS mengenakan kompaun RM4,000 seorang terhadap lima individu selepas didapati berkumpul pada majlis kenduri menyambut kelahiran cucu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lalang, Sungai Petani malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata kesemua individu terbabit terdiri tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.
Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat awam mengenai majlis kenduri terbabit sebelum sepasukan polis pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ke rumah berkenaan pada jam 9 malam untuk pemeriksaan.
“Sebaik tiba di lokasi, lima individu terbabit sedang berkumpul di majlis kenduri itu serta tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
“Mereka kemudian dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adzli berkata, siasatan mendapati kesemua individu yang menetap di sekitar daerah berkenaan didapati mengadakan kenduri kesyukuran menyambut kelahiran cucu seorang daripada mereka yang dipercayai tuan rumah.
Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka adalah tetamu jemputan yang juga rakan tuan rumah yang diundang ke majlis itu.
“Kesemua mereka dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Mereka perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malaysia Gazette

