ANTARA sebab utama manusia mengalami masalah atau gangguan mental ialah kemurungan dan kegelisahan.
Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), hampir setengah juta rakyat negara ini mengalami kemurungan.
Secara globalnya pula, tahun 2020 adalah amat mencabar apabila seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 mengakibatkan krisis kesihatan yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental individu.
Kemurungan sering dikaitkan dengan kesedihan, kekecewaan, hilang keyakinan dan keupayaan diri.
Tanda-tandanya dapat dikesan daripada hilang selera makan, tidak dapat tidur, menyendiri, halusinasi dan pada satu peringkat yang kritikal, individu yang kemurungan boleh mencederakan badannya sendiri atau membunuh diri.
Boleh dikatakan semua orang mengalami kemurungan tetapi berbeza mengikut keupayaan motivasi dan kadar tekanan kemurungan.
Ada individu yang hanya mengalami kemurungan selama beberapa hari dan berjaya bangkit daripada kemurungan itu. Kes sebegini dialami oleh kebanyakan orang dan mereka mengalami apa yang dinamakan minor depresi atau juga dalam keadaan tertentu dinamakan atypical depression (depresi tidak tipikal).
Sementara ada pula individu yang mengalami kemurungan yang teruk sehingga menyebabkan dirinya tidak sedar, terputus daripada realiti dan dikategorikan sebagai pesakit bipolar dan manic depression.
Dalam perubatan moden, kemurungan dipercayai berpunca daripada perubahan yang berlaku dalam hidup seseorang, contohnya penceraian, keguguran dan hilang pekerjaan.
Ia juga berpunca daripada kehilangan orang yang dicintai atau juga sejarah keluarga yang mempunyai masalah mental, genetik, konflik, penderaan, gender dan penyalahgunaan ubat-ubatan.
Para psikiatri berpendapat, sukar untuk menentukan punca masalah kemurungan secara tepat.
Oleh itu mereka lebih berminat dengan cara pengubatannya yang dapat dirawat dengan terapi kaunseling di samping rawatan-rawatan alternatif seperti akupuntur, meditasi dan latihan fizikal.
Mereka juga mengesyorkan pengambilan nutrisi tambahan semulajadi dan menjauhi alkohol dan pil-pil perangsangan yang merbahaya.
Dalam Islam, kemurungan dikategorikan dalam penyakit hati yang dicela kerana ia merupakan ludahan daripada mulut syaitan.
Al-Qur’an menerangkan “Sesungguhnya bisikan adalah daripada syaitan itu menjadikan orang yang beriman sedih walhal mereka (syaitan) tidak sedikit pun memberi mudarat melainkan dengan keizinan Allah, maka pada Allah orang mukmin itu bertawakal” (al-Mujadalah:10).
Dalam keterangan hadis pula, Nabi SAW menyebutkan “apabila kalian bertiga maka janganlah dua daripada kalian berbisik-bisik tanpa seorang lagi kecuali sehingga kalian berada dalam manusia yang ramai, kerana dua yang berbisik-bisik itu boleh menyebabkan seorang lagi sedih” (HR Muslim).
Larangan daripada bersedih atau kemurungan adalah suatu yang lazim dan jelas dalam agama Islam kerana ia bukan sahaja membuka ruang kepada syaitan masuk ke dalam hati dan merosakkannya malah boleh melemahkan keazaman seseorang muslim.
Hal ini ditegaskan oleh Ibnu Qayyim “bahawa kemurungan itu melemahkan hati, merendahkan keazaman dan memudaratkan kehendak.
Tiada suatu yang lebih disukai oleh syaitan daripada murungnya seorang mukmin”.
Apabila seseorang mukmin telah berada dalam keadaan kemurungan, dia mesti merawatnya dengan secepat mungkin. Jika dia tidak berbuat demikian, dia akan ditimpa penyakit hati yang lebih parah.
Antara penyakit hati terbabit sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ghazali ialah hilang minat dalam menuntut ilmu, hilang daripada dirinya hikmah dan makrifah, hilang kelazatan berzikir malah nafsunya menguasai diri dan akal fikirannya.
Merawat kemurungan dimestikan dengan dua peringkat supaya kemurungan itu berjaya dibendung dengan sebaiknya. Pertama, mengenal punca kemurungan dan kedua konsisten dengan rawatan.
Pada peringkat pertama, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa apa sahaja bentuk kemurungan berpunca daripada dua perkara; tidak cinta pada Allah dan mengikuti hawa nafsu.
Apabila seseorang tidak cinta pada Allah SWT maka dia tidak berharap dan bertawakal pada-Nya.
Bilamana dia mendapat musibah, dia akan berputus asa dan merasakan dirinya tidak terlepas daripada bebanan yang berat.
Manakala apabila dia mengikuti hawa nafsunya, dia akan mencintai harta, pangkat dan manusia disekelilingnya lebih daripada mencintai Allah SWT.
Bilamana dia kehilangan semua itu, dia akan kecewa dan merasakan dirinya dihina dan dizalimi. Allah SWT telah memberitahu jenis manusia ini “Maka sesungguhnya ada manusia, ketika diuji oleh tuhannya lalu dimuliakannya, diberikannya nikmat, lantas dia berkata tuhan saya memuliakan saya.
Ketika mana diuji pula dengan disempitkan rezeki ke atasnya, lantas bia berkata tuhan saya menghina saya” (al-Fajr: 15-16).
Justeru, setiap orang mesti mengelakkan dirinya daripada tidak mencintai Allah dan mengikuti hawa nafsunya.
Pada peringkat kedua, rawatan kemurungan mesti dilakukan secara konsisten dengan sentiasa memperingatkan diri tentang tercela dan bahayanya kemurungan.
Antara hadis yang boleh dijadikan panduan dalam perkara ini sabda Nabi SAW “apabila banyaknya dosa seorang hamba dan dia pula tidak melakukan sesuatu untuk menghapuskan dosa tersebut, Allah pasti mengujinya dengan kesedihan supaya dosanya terhapus” (HR al-Haytami dengan sanad hasan).
Atau hadis yang memangkinkan motivasi diri, sabda Nabi SAW “tidak mengenai seorang muslim daripada perkara yang melelahkan atau menyakitkan atau merisaukan atau menyedihkan atau mencederakan atau mengelirukan walaupun selumbar duri yang menusuk melainkan dengannya Allah mengampunkan dosa si muslim” (HR al-Bukhari).
Imam al-Ghazali turut menyarankan konsisten merawat kemurungan juga dapat diperolehi daripada sering melakukan muhasabah dengan mendirikan ibadat pada 1/3 malam.
Selain itu, mendapatkan bimbingan guru mursyid dan bersahabat dengan sahabat yang jujur juga dapat mendorong mengenal keaiban diri dan mengelakkan kemurungan berlaku.
Doa juga suatu yang tidak boleh ditinggalkan bagi orang Islam bahkan antara doa yang digalakkan menyebutnya ketika kemurungan ialah firman Allah SWT “wahai Tuhan kami, kami bertawakal pada Mu, kepada Mu lah kami bertaubat, kepada Mu lah kami kembali” (al-Mumtahanah: 4).
Atau “memadailah Allah, tiada tuhan melainkan-Nya, kepada-Nya saya bertawakal, Dia lah pemilik Arasy yang maha besar” (HR Abu Daud).
.
Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Hamidi Ismail (Pensyarah USIM) dan Abu Rujhan Al Tumpati (Penceramah Bebas)

