CUEPACS cadang Gred 54 ke bawah sumbang RM10 kepada tabung Covid-19

0
1

CUEPACS mencadangkan semua penjawat awam Gred 54 ke bawah menyumbang sekurang-kurangnya RM10 setiap seorang kepada tabung Covid-19.

Ia antara lain boleh digunakan untuk mengekang penularan wabak Covid-19, kata Presiden CUEPACS, Adnan Mat hari ini.

Katanya, cadangan sumbangan dikecualikan kepada petugas kesihatan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang terlibat secara aktif di barisan hadapan mengekang penularan Covid-19 sebagai penghargaan kepada mereka.

“Sumbangan RM10 ini boleh dibuat melalui potongan gaji oleh kerajaan sekiranya dipersetujui kelak.

“Sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam ingin memberi sumbangan lebih, ia keputusan masing-masing dan boleh dilaksanakan melalui prosedur yang diputuskan kerajaan.

“CUEPACS juga menghargai pengorbanan penjawat awam di peringkat JUSA dan TURUS kerana telah bersetuju memotong elaun keraian sejak pelaksanaan PKP tahun lalu lagi.

“Pengorbanan setiap penjawat awam amatlah CUEPACS hargai dalam menghayati setiap denyut nadi rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama, Adnan berkata CUEPACS berharap kerajaan dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada semua penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara.

Katanya lagi, pemberian vaksin membolehkan semua penjawat awam meneruskan peranan menjayakan agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Melalui pemberian vaksin ini, sudah tentu tiada masalah untuk penjawat awam melaksanakan tugas mereka seperti biasa di lapangan masing-masing dan tidak perlu lagi bekerja dari rumah (BDR).

“Ia juga mengurangkan risiko jangkitan kepada penjawat awam dan masyarakat kerana kebanyakan tugas penjawat awam adalah memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat secara bersemuka,” katanya.

Beliau juga berharap semua aset daripada agensi lain dapat digerakkan dalam operasi mengekang penularan Covid-19.

“Kenderaan jabatan, meja, kerusi dan khemah boleh disalur kepada pusat kuarantin dan pemberian vaksin, bilik gerakan Covid-19 daerah, klinik kesihatan dan Covid Assesment Centre (CAC) agar gerak kerja di fasiliti terlibat dapat diperkemaskan lagi.

“Perkara ini perlu diputuskan segera bagi memastikan setiap usaha mengekang penularan Covid-19 dapat dijayakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here