Azmin diminta tampil jelaskan rasional pembukaan setiap industri kilang

0
1

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disaran supaya tampil secara langsung dalam sidang media berkaitan ‘lockdown’ yang akan berkuatkuasa mulai esok hingga 14 Jun ini.

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi membolehkan menteri kanan tersebut menjelaskan rasional setiap industri kilang yang diluluskan atas nama ‘essential services’ atau perkhidmatan perlu.

“Saya cadangkan untuk Menteri MITI Azmin Ali tampil secara LIVE dalam Sidang Media untuk menjelaskan rasional setiap industri kilang yang diluluskan atas nama Essential Services.

“Antara yang saya kurang faham kilang elektronik dan elektrikal yang turut dibenarkan operasi atas nama keperluan. Setuju?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mohamed Azmin yang paling jarang muncul dalam sebarang sidang media sejak PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Sebaliknya semua prosedur operasi standard (SOP) serta pengumuman berkaitan sekatan pergerakan diserah kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai jurucakap kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan semua sektor perkilangan tidak dibenar beroperasi sepanjang pelaksanaan penutupan penuh fasa pertama selama 14 hari.

Beliau berkata kelonggaran diberikan kepada 12 jenis sektor perkilangan, iaitu aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan ‘overhaul’), makanan dan minuman, bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Sektor perkilangan lain yang dibenarkan berkaitan barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan keluaran penjagaan kesihatan serta perubatan, termasuk penokok diet serta barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.

Turut dibenarkan kilang komponen peranti perubatan, elektrikal dan elektronik, minyak dan gas (termasuk petrokimia dan produk pertrokimia), mesin dan peralatan (berkaitan kesihatan dan makanan), tekstil untuk pengeluaran PPE, dan pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here