SELEPAS Neelofa, ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohamed pula terpalit kontroversi apabila didakwa memuat naik hantran di Instagramnya yang mempertikai titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Bagaimanapun, Noor Kartini mendakwa ia berlaku disebabkan kecuaian pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang secara tidak sengaja telah memuat naik Instagram Story menggunakan akaunnya.
Menerusi kenyataan media yang dimuat naik, Noor Kartini mengakui kesal dengan insiden tersebut dan berjanji akan memastikan kejadian seumpama itu tidak akan berulang.
“Berhubung tangkap layar daripada media sosial (Instagram story) saya yang tersebar berkenaan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada media sosial (Instagram) saya,” katanya.
Menurut Noor Kartini, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kepada Istana Negeri Johor terutamanya DYMM Tuanku Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga Diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi,” katanya lagi.
Hari ini tular tangkap layar menunjukkan imej dan titah Sultan Ibrahim berkaitan cadangan sekatan penuh bersasar bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, disertakan sekali dalam imej itu, kata-kata dipercayai mempertikai niat dan saranan Sultan Johor tersebut, yang dibuat akaun Instagram Noor Kartini.
Sementara itu, tangkap layar tersebut mendapat perhatian Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran Insta Story yang dimuat naik Tunku Idris, ramai yang mendakwa ianya berkaitan dengan tangkap layar yang tular tersebut.
“Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik,” tulis baginda. – Malaysiapost

