JUMLAH katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di semua hospital dan pusat kuarantin semakin berkurangan yang mungkin menyebabkan doktor terpaksa mengutamakan pesakit yang berpotensi sembuh sahaja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi itu sebelum ini yang disifatkan sebagai satu situasi sukar.
“Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi sekarang.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab, tidak kira Kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan juga rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, penularan Covid-19 semakin meruncing di mana kadar kebolehjangkitan (Rt) terkini adalah 1.16 dan jumlah kes dilaporkan saban hari menunjukkan tren kenaikan yang mendadak.
“Kenaikan satu ribu sehingga dua ribu kes sehari adalah tidak mustahil. Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes pada 29 Mei 2021 akibat Covid-19.
“Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi,”katanya. – Malaysiapost

