Najib bimbang pusat vaksinasi sesak, syor kaedah pandu lalu

0
1
Orang ramai duduk menunggu giliran untuk mengambil vaksin AstraZaneca di PWTC.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang kesesakan pusat vaksinasi Covid-19 boleh membawa kepada risiko penularan wabak sekali gus mencetuskan kluster baharu.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata keadaan itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana negara dijangka bakal menerima bekalan vaksin yang tinggi tidak lama lagi.

“Kerajaan kata kita dijangka terima bekalan vaksin yang tinggi tak lama lagi maka kadar vaksinasi akan semakin naik.

“Namun semakin naik kadar vaksinasi maka berlakunya insiden kesesakan di pusat vaksinasi juga bakal naik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Justeri, Najib berkata, beliau sekali lagi mencadangkan supaya kaedah vaksinasi dibuat menerusi pandu lalu di kawasan parkir yang luas.

“Pada awal bulan Mac lalu, saya pernah cadang gunakan kaedah vaksinasi melalui pandu lalu (drive thru) di tempat parkir luas seperti kawasan parkir stadium.

“Selain itu juga, membenarkan lebih 7,000 klinik swasta seluruh negara mengambil peranan dalam program vaksinasi untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.

“Masa itu, Menteri vaksin jawab saya bahawa kerajaan sedang pertimbangkan kedua-dua cadangan ini,” katanya.

Najib berkata, beliau berharap cadangan berkenaan akan menjadi realiti pada masa terdekat untuk memberi lebih keselesaan kepada rakyat dan mengurangkan risiko penularan Covid-10 semasa divaksin.

“Jangan pula orang datang nak dapat vaksin tapi kembali dengan Covid nanti,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan memberi jaminan kadar vaksinasi Covid-19 akan meningkat lebih ketara mulai Jun, Julai dan Ogos ini.

Katanya, peningkatan mulai bulan hadapan itu selari dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin ke negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here