Kes lebih 9,000, bukti kerajaan gagal tangani Covid-19 – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan gagal menangani penularan Covid-19 susulan peningkatan kes baharu iaitu 9,020 kes termasuk 98 kes kematian, semalam.

Najib berkata, beliau tidak pernah fikir Malaysia boleh ‘jatuh’ seteruk ini walaupun kerajaan diberi kuasa penuh darurat dan berbelanja sesuka hati selama lima bulan.

“Lima bulan bukan satu tempoh yang pendek. Negara kita satu-satunya sahaja dalam dunia yang gantung demokrasi dan parlimen dengan alasan nak lawan Covid.

“Satu-persatu kesilapan demi keputusan kerajaan yang jelas salah berlaku di depan mata tapi kita tak boleh buat apa-apa. Lain-lain negara tak pernah buat demikian tapi keadaan Covid mereka memulih pula. Gagal segagal-gagalnya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Najib merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang menyatakan jumlah kematian 98 orang akibat Covid-19 semalam adalah satu detik hitam buat negara.

Beliau bwerkata, sebanyak 451 orang terkorban dalam tempoh tujuh hari lalu berbanding 471 kematian bagi keseluruhan tahun 2020.

“Manakala 1,144 kematian setakat bulan Mei 2021 dan 2,095 kematian sejak Darurat bermula,” katanya.

Beliau berkata, jumlah itu tanpa mengambil kira faktor saiz penduduk Malaysia telah menyebabkan negara berada di tempat kelapan paling tinggi kes baharu Covid-19 dalam dunia semalam.

“Sikit lagi akan melepasi Amerika Syarikat. Jika diambil kira saiz penduduk, kes baharu Covid Malaysia semalam adalah lebih tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding USA dan 2.2 kali ganda lebih tinggi berbanding India.

“Sakit hati betul untuk tengok pada ketika negara-negara lain semakin pulih tapi Malaysia pula meroket naik untuk pecah rekod Covid tiap-tiap hari,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pekan itu menjelas beliau tidak berniat untuk menghasut atau meroyan, cuma kecewa tindakan kerajaan sebelum ini bagi mengawal penyebaran Covid-19 tidak menunjukkan keberkesanan.

“Nak tuduh Najib meroyan, menghasut, berlagak hero atau tanam kebencian pun tak tepat sebab ini adalah fakta, data dan sains yang tidak dapat dinafikan.

“KP Kesihatan pun dah kata ianya detik hitam negara. Akhirnya, 32 juta rakyat Malaysia yang jadi mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here