YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi hantaran di Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham .
“Innalillahiwainnailaihirojiun Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria baru sahaja pulang ke rahmatullah. Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan solihin,” tulisnya.
Terdahulu, Allahyarham yang berusia 82 tahun dilaporkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak sebentar tadi.
Pada 19 Mei lalu, Harussani dan isterinya disahkan positif Covid-19, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) di HRPB. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/30/mufti-perak-meninggal-dunia/

