KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) meningkatkan kekuatan keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain kepada 70,000 anggota sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula Selasa ini.
KDN dalam kenyataan, berkata daripada jumlah itu kekuatan PDRM ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini.
Menurut kenyataan itu, PDRM dan kementerian itu telah menggerakkan seramai RM15,000 anggota lagi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain yang menjadikan jumlah kekuatan tambahan keseluruhan sebanyak 70,000 anggota.
“Bagaimanapun, KDN ingin memaklumkan bahawa kita bersedia untuk menambah jumlah anggota jika diperlukan melalui PDRM, Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Rela, Escomm, AKSEM, PENJARA, Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang boleh digerakkan bagi tujuan penugasan tersebut.
“Selain itu, KDN melalui PDRM juga akan meningkatkan bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR sahaja pada masa ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata, pemeriksaan mengejut juga akan dilaksanakan oleh Tim Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
KDN berkata, ia membabitkan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi.
Katanya, jumlah Tim Pemantauan Pematuhan SOP tersebut akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang anggota berbanding 13,795 orang ketika ini.
Selain itu, katanya, pemeriksaan juga melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.
“Selain dari OP Benteng, APMM dan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan-laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.
“Manakala JIM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan PDRM juga akan mempertingkatkan operasi penguatkusaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara,” katanya.
KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini.
“Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].” katanya. – Malaysiapost

