KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pergerakan besar-besaran yang berisiko menyebabkan penularan virus Covid-19 masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.

Dengan nada kecewa, beliau berkata, tindakan membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19. Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting,” katanya dalam hantaran Facebook, sebentar tadi.
Dr Noor Hisham berkata, orang ramai perlu membantu untuk memerangi Covid-19 ,sekiranya peningkatan kes tidak terkawal ia bakal melumpuhkan sistem kesihatan negara.
“Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes Covid-19 tidak terkawal.
“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata, petugas barisan hadapan sudah penat namun mereka masih meneruskan perjuangan demi keselamatan rakyat.
“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya.
“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.
Dalam hantaran itu, Dr Noor Hisham turut memuatnaik beberapa keping gambar aliran trafik sesak teruk di Tol Gombak dan Tol Sungai Besi, hari ini.
Difahamkan, trafik didapati sesak di kedua-dua tol menghala ke pantai timur dan selatan tanah air yang dirakam sekitar jam 10 pagi tadi.
Gambar aliran trafik sesak itu tular di sebuah page di laman sosial Facebook hingga mendatangkan kemarahan dan kecaman oleh netizen. – Malaysiapost

