AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melancarkan beberapa inisiatif dalam usaha menggalakkan orang ramai di kawasan Parlimennya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Terbaharu, Takiyuddin menerusi Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu menawarkan saguhati RM20 kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin, bermula 30 Mei ini.
Menerusi satu hantaran Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu memaklumkan saguhati itu boleh dituntut di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu.
Pada masa sama, dengan syarat utama iaitu mesti pengundi di Parlimen Kota Bharu selain membawa kad pengenalan dan menunjukkan pengesahan telah disuntik vaksin Covid-19.
“Khusus untuk warga Kota Bharu, pakat-pakat war-warkan dan sebarkan untuk semua rakyat,” katanya.
Selain itu, Takiyuddin berkata, pengangkutan percuma disediakan kepada mereka yang menghadapi masalah pengangkutan untuk pergi ke pusat suntikan vaksin.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin melaporkan lebih 10,000 rakyat Kelantan gagal hadir untuk menerima suntikan vaksin meskipun telah mendaftar untuk menerimanya. – Malaysipost

