Kematian di luar hospital akibat Covid-19 semakin meningkat

0
1

KES kematian akibat Covid-19 di luar hospital (BID) sejak 1 Mei hingga semalam dilaporkan seramai 95 mangsa dengan jumlah tertinggi dicatatkan adalah pada 23 Mei lalu iaitu 10 orang.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes BID itu semakin meningkat dan orang ramai yang mempunyai gejala diingatkan supaya segera membuat ujian saringan.

KKM dalam satu hantaran di Facebook rasminya turut berkongsi tiga contoh senario kes BID yang mungkin berlaku seperti digambarkan seorang doktor di Hospital Sungai Buloh, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi.

“Kes ‘Brought In Dead’ (BID) semakin meningkat. Berikut contoh tiga senario yang mungkin berlaku.

“Senario 1: Bergejala seperti demam dan batuk. Pergi ke klinik untuk dapatkan ubat. Tidak buat ujian saringan Covid-19. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

“Senario 2: Didapati positif Covid-19 dan telah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta. Ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19) atau hospital.

“Senario 3: Hilang deria rasa dan sangat letih tapi tidak mengambil serius gejala-gejala ini. Hanya berehat di rumah dan beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah,” menurut KKM.

Sehubungan itu, KKM meminta orang ramai terus duduk di rumah dan keluar hanya perlu bekerja atau beli barang keperluan dengan patuh sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here