Nurul Huda Abhar
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan bahawa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) institusi itu tidak diiktiraf di luar negara seperti yang tersiar di media tempatan baru-baru ini.
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam kenyataan berkata, institusi tersebut telah mendapat penganugerahan status akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2010.
Kenyataan itu berkata, selain itu ia telah diberi status autonomi untuk melaksanakan proses akreditasi ke atas semua program akademik yang ditawarkan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
“Pihak universiti juga telah menjalankan proses akreditasi bagi kesemua program pascasiswazah Master Sains dan PhD dan telah mendapatkan kelulusan Akreditasi Penuh oleh Senat UPM pada 12 Disember 2013 untuk kesemua bidang pengajian.
“Bagi kesemua bidang pengajian tersebut, UPM telah mendaftarkan program Master of Science dengan kod MQA/SWA/0400 dan Doctor of Philosophy dengan kod MQA/SWA/0399 di dalam Malaysia Qualification Registry (MQR) yang diselia oleh MQA.
“Kaedah penamaan satu program untuk kesemua bidang pengajian ini adalah mengikut praktis di peringkat antarabangsa dan telah dimaklumkan kepada pelajar semasa minggu orientasi,” kata kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, graduan UPM, Saed Jnaidi dari Palestin mendakwa PhD yang diterima dari UPM tidak diiktiraf di luar negara.
Katanya, dia memperoleh PhD program Komunikasi Massa itu selepas menamatkan pengajian di UPM pada tahun 2019.
Namun semua terbongkar apabila Phd tersebut belum diakreditasi oleh kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.
Jelasnya, sebagai pemegang permit kediaman, dia dibenarkan bekerja dan tinggal di Belanda tanpa sekatan.
Bagaimanapun, dia kecewa kerana telah terlepas peluang itu hanya kerana kegagalan pentauliahan di pihak UPM.
Sementara itu, UPM menegaskan bahawa skrol yang diterima graduan berkenaan adalah tertulis sebagai Doctor of Philosophy sahaja, seperti bertarikh 9 April 2020, iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti didakwa.
Menurut kenyataan itu, Program Doctor of Philosophy adalah program yang mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.
“Merujuk kepada dakwaan bahawa Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UPM belum menghantar senarai program ke MQA untuk penghantaran, UPM ingin menjelaskan bahawa senarai program yang akan dihantar untuk pendaftaran bidang baru Master dan PhD mengikut National Education Code (NEC).
“Namun untuk pelajar berkenaan, sekali lagi ditekankan bahawa pendaftaran program beliau adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

