Tidak berlaku vandalisme, persetubuhan luar nikah di PKRC Kelantan

0
1

PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kelantan hari ini menafikan laporan sebuah portal berita stesen televisyen tempatan yang mendakwa berlaku kegiatan vandalisme dan persetubuhan luar nikah di pusat tersebut.

Pengarahnya, Dr Mohd Azman Yacob berkata, laporan berkenaan tidak benar sama sekali kerana kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di tempat terbabit sejak ia beroperasi.

Menurut beliau, PKRC yang dibuka setakat ini mengasingkan penghuni mengikut jantina, justeru laporan tersebut sangat sensitif kerana memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Pihak stesen televisyen berkenaan tidak sepatutnya melaporkan berita seperti itu kerana kita khuatir orang ramai akan takut untuk ke PKRC walaupun positif Covid-19.

“Sekarang kita sedang berperang dengan Covid-19 selain memujuk masyarakat supaya masuk ke PKRC sebaik disahkan positif wabak berkenaan.

“Kami tidak mahu penyiaran berita seperti itu kerana boleh mengganggu urusan kami memutuskan rantaian Covid-19,” katanya pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Dr Azman berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku itu tidak membabitkan PKRC sebaliknya di stesen kuarantin yang menempatkan kontak rapat pesakit positif Covid-19 serta pesalah yang baru keluar penjara.

Terdahulu, portal terbabit mendakwa berlaku vandalisme serta masalah sosial termasuk penghuni melakukan persetubuhan luar nikah di PKRC Kelantan.

Bagaimanapun malam tadi portal terbabit mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas laporan berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here