PENYERANG Selangor FC, Shahrel Fikri terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki tahun ini apabila dinasihat untuk menjalani proses pemulihan sehingga tahun depan.
Shahrel yang berdepan kecederaan dalaman di bahagian pergelangan kaki pada awal Mei lalu, masih dalam fasa pemulihan dan dijangka mengambil masa empat hingga lima bulan untuk pulih.
Bagaimanapun, penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2020 itu mendapat saranan doktor untuk tidak terburu-buru kembali ke padang dan hanya boleh kembali berlatih bermula tahun depan.
Mengakui situasi dialaminya ketika ini bukan mudah untuk diterima kerana masih belum puas beraksi musim ini, tetapi Shahrel perlu memikirkan kesan jangka masa panjang bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk berlaku.
“Lepas pembedahan tempoh hari, sekarang dah tak rasa sakit sangat, cuma nak dapat keyakinan untuk berjalan normal balik tu saya masih rasa takut lagi.
“Memang ikutkan doktor cakap dalam empat hingga lima bulan akan pulih, tetapi kalau nak terus masuk berlatih, takut benda tak diingini berlaku yang boleh menyebabkan saya tak dapat bermain selama-lamanya.
“Jadi doktor cakap memang kena ambil masa lebih panjang dan boleh kembali berlatih semula tahun depan, jadi Piala Malaysia terlepas, Piala AFF Suzuki pun terlepas,” katanya seperti dilaporkan menerusi laman web Malaysian Football League (MFL).
Pemain berusia 27 tahun itu hanya sempat menjaringkan satu gol bersama Selangor FC ketika menentang Sri Pahang FC Mac lalu.
Selangor FC ketika ini berada di tangga kelima Liga Super dengan 19 mata selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini. – Malaysiapost

