Dr Nur: Pengguna Instagram digesa tampil kongsi maklumat

0
1
Wisma Putra building in Putrajaya. MOHD SAHAR MISNI/The Star

WISMA Putra menggesa individu serta pemilik akaun Instagram (IG) @iesya_toh dan @nurhelizahelmi segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr Nur’.

Ia berhubung dakwaan mengenai perkongsian yang tular di media sosial berkaitan penahanan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ oleh pihak Israel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam, berkata mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat terbabit melalui e-mel [email protected].

Jelasnya, kementerian gagal mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr Nur’ dan ianya menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada beliau.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Kementerian Luar sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’, selain mengumpul maklumat berkenaan laporan dikemukakan, termasuk tangkap skrin posting dibuat orang awam berhubung insiden menimpa ‘Dr Nur’.

“Maklumat berkenaan juga sudah dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra juga sudah cuba menghubungi dua individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr Nur’, namun mereka gagal dihubungi.

Katanya, maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak kementerian mencari penyelesaian untuk membantu ‘Dr Nur’.

“Kementerian sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

“Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu jika rakyat Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan.

“Rakyat Malaysia disaran untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia terdekat, jika berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pegawai perubatan Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ didakwa ditahan tentera Israel dan berada dalam keadaan kritikal akibat ditembak ketika menjalankan misi bantuan perubatan di Palestin. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here