KERAJAAN akan membuka slot janji temu pengambilan vaksin AstraZeneca (AZ) kepada individu bawah 60 tahun bermula jam 12 tengah hari esok.
Slot berkenaan akan diberikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AZ di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata selepas lebih dua minggu dilaksanakan melalui inisiatif pelawaan pemberian vaksin AZ, seramai 133,336 individu sudah divaksinasi.
“Daripada jumlah itu lebih kurang 30,000 mendaftar dalam senarai menunggu yang telah dan akan dipanggil sehingga 6 Jun nanti selepas terdapat kekosongan pada penghujung setiap hari.
“Bagi pendaftaran untuk pendaftaran slot tempahan vaksinasi AZ pusingan kedua kita telah membuka sistem tempahan untuk vaksinasi bermula Ahad lalu,” katanya dalam sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di Putrajaya hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pusingan kedua berkenaan buat permulaannya memberi keutamaan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas sebagai usaha untuk memberi perlindungan kepada golongan tersebut.
Menurutnya, jumlah terkini yang sudah berdaftar untuk pusingan kedua vaksin AZ adalah 228, 347 slot setakat ini.
“Pemberian untuk pusingan kedua vaksin ini akan membabitkan empat PPV AZ baharu selain daripada PPV AZ sedia ada
“PPV AZ baharu berkenaan adalah Setia Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Johor; Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri,” katanya.
Khairy berkata, bagi PPV AZ di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, sudah mencapai kapasiti 3,000 dos sehari menjadikan PPV AZ kedua terbesar selepas PPV AZ Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
“Individu yang telah ada dalam senarai menunggu pada pusingan pertama akan dimasukkan secara automatik dalam pusingan kedua
“Slot tempahan pusingan kedua vaksin AZ bagi warga emas adalah dalam lingkungan 228,000 dan kita telah memberi beberapa hari dikhususkan untuk golongan terbabit.
“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah putuskan bahawa untuk kemudahan vaksin AZ pusingan kedua di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak akan dibuka kepada orang ramai di bawah usia 60 tahun pada jam 12 tengah hari Rabu ini,” katanya.
Menurutnya, ianbagi mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin dan sebanyak 1.26 juta dos vaksin AstraZeneca diperuntukkan untuk pusingan kedua itu berikutan penghantaran terkini yang telah diterima pada 21 Mei lalu dan satu lagi penghantaran hujung bulan ini. – Malaysiapost

