Doktor kongsi detik cemas rawat mangsa LRT, dalam ‘kekalutan’ kes Covid-19

0
1

“PENYELIA-penyelia, buka katil-katil kanvas di zon-zon tambahan. Team leader (Ketua Kumpulan) malam, agihkan semua staf untuk ambil pesakit”.

Demikian arahan seperti yang dikongsi Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose di Facebook, menceritakan detik cemas merawat pesakit insiden Tren LRT bertembung pada malam semalam.

Menurut beliau, arahan juga diberikan kepada Ketua Jururawat untuk menggunakan tag warna untuk mengasingkan pesakit insiden tren tersebut, dengan pesakit yang lain agar memudahkan urusan rawatan.

“Saya tahu, semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk mereka pulang. Tetapi mereka sangat tabah dan sabar. Tidak ada satu wajahpun yang memperlihatkan riak wajah yang tidak suka dengan arahan ini. Sebaliknya semua nampak bersemangat.

“Saya bernasib baik, kerana selain 3 pakar yang sudah ada, ada lagi pakar-pakar lain yang datang dari rumah, Dr Ibrahim, Dr Rathini, Dr Hafiz dan Dr Amira sudahpun sampai. Malah ada pakar kecemasan, Dr Shah Jahan dari Hospital Sungai Buloh yang turut serta. “My house dekat jer,”.

“Pakar-pakar ini dibahagi-bahagikan ke setiap zon untuk merawat pesakit bersama pasukan kami,” tulisnya.

Dr Alzamani berkata, berikutan seramai 42 pesakit yang berada di zon hijau sedang menunggu untuk dibuat imbasan X-ray, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mahathar Abd Wahab terpaksa meminta bantuan Unit Radiologi bagi menghantar pesakit insiden yang boleh berjalan untuk membuat imbasan.

“Sepantas itu, dia (Dr Mahathar) terus menelefon ketua jabatan radiologi, Dr Shantini. Dr Shantini terus bersetuju. Dr Amira selepas itu mengumpulkan semua pesakit yang perlukan X-Ray dari zon hijau dan seramai 19 orang dihantar untuk secara berkumpulan. Ianya menjadi pantas.

“Pakar-pakar Neurosurgeri, Anestesiologi, Surgeri dan Ortopedik juga turun dan bersama mereka keputusan pembedahan dan kemasukan wad juga pantas setelah semua pesakit diperiksa dan distabilkan oleh pasukan kami,” kongsinya lagi.

Sementara itu, semasa rawatan kecemasan bagi insiden tren sedang berjalan, pesakit Covid-19 dan pesakit lain-lain yang sudah sedia ada masih dirawat seperti biasa.

Katanya, menjelang jam 12 tengah malam semalam, seramai 67 pesakit telah dihantar dan dirawat di jabatan tersebut dan para petugas unit itu berkerja dengan sangat efisen.

Tambah Dr Alzamani, pasukan kejururawatan telah menyediakan katil di hospital untuk semua pesakit yang memerlukan termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad.

Beliau berkata, daripada 67 pesakit yang dirawat enam adalah kritikal, 19 separa kritikal manakala 42 adalah tidak kritikal. Malah, bagi setiap pesakit yang perlukan kemasukan wad, ujian RTK antigen atau Gene Expert PCR dibuat.

“Akhirnya, menjelang pukul 1 pagi, semua pesakit selesai diperiksa dan telah ada perancangan rawatan. Maka pada pukul 1.25 pagi, kami semua mengadakan sesi ‘debriefing’. Semua gembira kerana insiden ini dapat ditangani dengan amat efisyen berkat kerjasama semua di HKL. Kami melepaskan petugas syif petang untuk pulang.

“Datuk Dr Mahathar mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan akhirnya dia mengisythiharkan ‘stand down’ tepat jam 1.38 pagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata walaupun insiden itu dapat ditangani namun ‘loceng’ terus berbunyi bagi kes-kes Covid-19, dan ada dua daripada mereka terpaksa ‘ditidurkan’ dan dipasang alat bantuan pernafasan.

Ujarnya, bencana yang berlaku tidak akan memilih masa dan boleh berlaku ketika musim pandemik yang mana boleh menyusutkan lagi keadaan.

“Tidak kira walau apapun krisis yang menimpa, kita harus tenang, rasional, sabar dan bersatu hati menyelesaikan setiap masalah.

“Jika semua mencurahkan tenaga untuk ‘menjambatankan’ setiap jurang, setiap ribut dapat kita hadapi bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here