Ramadan, Aidilfitri cetus 40 kluster keagamaan setakat ini

0
2

KLUSTER keagamaan ketika Ramadan dan sambutan Aidilfitri dikesan menjadi antara punca peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pergerakan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lalu menyebabkan wujud 40 kluster baharu.

Beliau berkata, setakat semalam 40 kluster keagamaan itu dikenal pasti termasuk 19 kluster di Johor, Selangor (13) dan lapan kluster di negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan serta Kelantan.

“Ketika ini kes kluster keagamaan direkodkan berdasarkan kes jangkitan sepanjang bulan puasa yang lalu sehinggalah Hari Raya.

“Kluster ini meningkat bergantung kepada pergerakan atau mobilisasi orang ramai. Jika kita dapat kurangkan mobilisasi bermakna kurang peluang untuk virus hidup, dan kadar kebolehjangkitan (Rt) turun kurang daripada 1.0 sekali gus melemahkan transmisi serta dapat bendung Covid-19,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Menurutnya, sebab itulah prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 perlu dipatuhi.

Menjawab mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di Labuan, katanya ia berpunca daripada Kluster Layangan.

“Kira-kira tiga minggu lalu beberapa warga asing menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Labuan dan membawa jangkitan yang kemudian menjangkiti komuniti di Labuan.

“Kita telah mengambil tindakan memastikan Labuan dikenakan PKP 3.0 dengan SOP yang diperketatkan kerana aktiviti ekonomi sangat rancak dan membabitkan penggiat ekonomi di sektor minyak dan gas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here