Insiden LRT: Selangor gesa kerajaan kongsi hasil siasatan

0
3

KERAJAAN Negeri Selangor menggesa hasil siasatan insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi dikongsi bersama semua pemegang taruh kerana kebanyakan kawasan LRT adalah terletak di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han, berkata kerajaan Negeri Selangor juga mahu Prasarana menilai semula prosedur operasi dan penyelenggaraan LRT termasuk memastikan kekerapan latihan kecemasan (emergency drills) yang mencukupi untuk menghadapi insiden seumpama ini.

“Kejadian yang mampu meragut nyawa seperti ini boleh membantutkan inisiatif dan dorongan berterusan kerajaan negeri untuk memastikan sistem pengangkutan awam terus mendapat kepercayaan rakyat.

“Untuk makluman, kerajaan negeri telah menyasarkan untuk melipatgandakan penggunaan pengangkutan awam daripada 20 peratus kini kepada 60 peratus menjelang tahun 2030 berikutan pertambahan penduduk di Lembah Klang yang semakin meningkat.

“Selain itu, soalan yang timbul adalah sama ada proses evakuasi atau pemindahan mangsa semalam telah dilaksanakan dengan baik. Pada waktu kejadian tersebut, terdapat pengguna LRT lain yang berada di stesen untuk menanti ketibaan tren mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, kebimbangan itu timbul kerana pihaknya bukan sahaja mahu rakyat percaya bahawa sistem pengangkutan awam adalah selesa dan cepat, tetapi yang lebih penting kebergantungan mereka bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dalam keadaan selamat.

Menurutnya, seperti sedia maklum kini sedang berjalan pembangunan menyeluruh sistem tren di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembinaan LRT3, MRT2 dan terbaru MRT3.

“Oleh itu, adalah penting agar hasil siasatan ini dibincangkan bersama dan apa yang lebih mustahak adalah penilaian semula prosedur dan penyelenggaraan tren, termasuk landasan LRT ini.

“Untuk masa ini, kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas dan input daripada pihak Smart Selangor Command Centre tentang permintaan pengangkutan awam oleh rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri bersedia untuk menambah kekerapan Bas Smart Selangor bagi menampung kekurangan kekerapan tren LRT akibat insiden ini,” ujarnya.

Semalam, satu insiden pertembungan dua tren LRT di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC melibatkan sejumlah 213 penumpang dengan beberapa mangsa parah.

Menurut laporan, kejadian ini disebabkan pertembungan dua tren di mana salah sebuah tren tersebut telah mengalami kerosakan dan dipandu uji secara manual. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here