SEPASUKAN pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam membuat pemantauan dan pemeriksaan pengoperasian pusat kasino di Genting Highlands.
Pemeriksaan diketuai Ketua Polis Daerahnya, Superintendan Zaiham Mohd Kahar susulan arahan penutupan pusat perjudian terbabit oleh kerajaan.
Menurut IPD Bentong, pemantauan dan pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan pengoperasian pusat kasino tersebut ditutup sepenuhnya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, selaras arahan Kementerian Kewangan.
Sementara itu, Zaiham turut menasihatkan orang ramai agar terus patuh kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kasino Genting Highlands akan mula menutup operasi pada tengah malam tadi susulan pelaksanaan SOP PKP 3.0 yang lebih ketat.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Mei lalu, mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino atau tidak.
Pada Jumaat lalu kerajaan mengumumkan SOP lebih ketat bagi sektor ekonomi ketika tempoh PKP 3.0. – Malaysiapost

