SEMUA Hakim mahkamah akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 31 Mei ini, kata Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntuk jumlah yang mencukupi untuk memberikan suntikan vaksin kepada semua hakim di negara ini.
“Sebagai permulaan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan akan menerima vaksin pada 31 Mei 2021 diketuai oleh Ketua Hakim Negara.
“Pejabat Menteri Undang-Undang juga sedang menguruskan agar semua Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Majistret-Majistret diberikan vaksin di negeri-negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Takiyuddin, kerajaan menganggap para hakim dan pegawai-pegawai mahkamah sebagai petugas barisan hadapan kerana tugas mereka yang berhubung terus dengan orang ramai.
“Dengan pemberian vaksin diharap akan mengurangkan risiko pendedahan mereka kepada virus Covid-19,” katanya. -Malaysiapost

