INSIDEN kereta meletup di Kampung Sireh, Kota Bharu pada Jumaat lalu, bukan berpunca daripada puntung rokok, panahan petir atau dron.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada dua agensi iaitu forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi mendapatkan kesahihan punca kejadian.
Katanya, proses siasatan mengambil sedikit masa susulan terdapat bahan bukti dalam jumlah yang banyak dan perlu dianalisa sebaik mungkin.
“Jika benar akibat mercun yang dibawa mangsa, kita perlu tahu bagaimana letupan berlaku. Ini kes pertama berlaku di negeri ini, jadi pasukan yang terbabit untuk menyiasat memerlukan ruang bagi mencari jawapan terbaik.
“Setakat ini, siasatan mendapati bukan sahaja mercun bola yang ditemui di dalam kenderaan mangsa, tetapi terdapat beberapa mercun lagi yang agak berbahaya.
“Kesemua mercun terbabit dipercayai diletakkan di bahagian bonet kereta susulan pengakuan saksi yang memberitahu melihat api bermula di bahagian itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian, manakala lima kenderaan lain turut terbakar.
Letupan itu menyebabkan empat kenderaan rosak dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang parah selain kereta Proton Iswara dipandu mangsa rentung dan terputus dua.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, kawalan sempadan terus diperketatkan bagi memastikan kes penyeludupan mercun tidak lagi terlepas pandang.
“Bagaimanapun, sebelum ini agensi keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah memberi kawalan yang baik untuk menjaga sempadan negara daripada dibolosi.
“Buktinya, PGA sendiri baru sahaja merampas pelbagai jenis mercun dalam jumlah yang banyak sepanjang Ramadan lalu, namun kawalan akan terus diperketatkan supaya sempadan tidak lagi dibolosi.
“Saya percaya tiada sebarang kompromi diberikan untuk kes seperti ini agar jenayah rentas sempadan dapat terus dikekang sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost

