AstraZeneca: Sesuai atau tidak untuk wanita mengandung diputuskan Khamis ini

0
2
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

WANITA mengandung dan ibu yang menyusukan anak akan diberi janji temu suntikan vaksin berdasarkan vaksin yang bersesuaian melalui ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, berkata buat masa ini vaksin Pfizer boleh diberikan kepada kedua-dua golongan terbabit, manakala AstraZeneca hanya kepada ibu yang menyusukan anak.

“Kerajaan akan membuat keputusan sama ada vaksin AstraZeneca akan diberi kepada wanita mengandung dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Khamis ini.

“Buat masa ini vaksin Pfizer diberikan kepada kedua-dua golongan terbabit, manakala AstraZeneca kepada ibu menyusukan anak sahaja,” katanya dalam sidang media mingguan PICK di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, ciri aplikasi MySejahtera baharu yang dilancarkan beberapa hari lagi akan menentukan wanita mengandung dan menyusukan anak diberi vaksin bersesuaian.

Mengenai kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan hanya vaksin Sinovac setakat ini disahkan halal, beliau mengesahkan tiada bahan haram dalam vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

“Maksud Datuk Seri Ismail Sabri adalah vaksin Sinovac telah mendapat sijil daripada Majlis Ulama Indonesia yang mengatakan bahawa ia halal.

“Ini tidak bermaksud vaksin lain mengandungi apa-apa ramuan yang menyebabkan ia haram, malah kita telah buat semakan kepada ramuan vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang didapati tiada ramuan daripada khinzir dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here