Sangat sukar ucapkan selamat tinggal – Wijnaldum

0
1

PEMAIN tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum mengakui semalam detik penuh emosional bagi dirinya kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang disertainya sejak lima tahun lalu.

“Saya sangat gembira kerana kami berjaya mendapat tempat ketiga (Liga Perdana Inggeris) dan mengesahkan tempat Liga Juara-Juara musim depan.⁣

“Bagaimanapun saya menahan air mata, semua orang di Liverpool telah menunjukkan rasa sayang kepada saya dalam lima tahun ini. Sangat sukar untuk ucap selamat tinggal.⁣

“Kejuaraan yang kami menangi, peminat menyanyikan nama saya, tidak akan saya lupakan perkara menakjubkan yang diraih dengan kelab hebat ini.

“Kami berkongsi detik yang tidak dapat dilupakan bersama, tidak ada yang dapat mengambilnya dari kami,” kata pemain antarabangsa Belanda itu menerusi kenyataan di Facebooknya.

Wijnaldum yang menjadi kapten pasukan ketika ketiadaan Jordan Henderson, James Miller dan Virgil van Dijk, beraksi kali terakhir bersama Liverpool ketika menewaskan Crystal Palace malam tadi.

Dalam aksi di Anfield itu, Liverpool menang 2-1 sekali gus meraih kedudukan ketiga liga dan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Pemain berjersi nombor 5 itu menambah, dia ingin kekal sebagai pemain Liverpool selama bertahun-tahun, tetapi malangnya keadaannya berbeza.

“Saya mesti memulakan pengembaraan baru.⁣
Saya belum menandatangani dengan pasukan lain, semua orang tahu dalam bola sepak semuanya boleh berlaku.

“Situasinya sekarang adalah pada 1 Julai, saya bukan pemain Liverpool lagi. Kita akan lihat apa yang akan saya lakukan dalam beberapa minggu akan datang.

“(Buat masa sekarang) Saya akan berehat sebentar dan kemudian pergi ke pasukan kebangsaan (persiapan Euro),” katanya.

Wijnaldum pastinya dikenang sebagai wira Liverpool ketika menyingkirkan Barcelona 4-0 di Anfield pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2019 menerusi dua jaringan di Anfield.

Pemain yang dibeli dari Newcastle United itu menjulang Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Super Cup dan Piala Kelab Dunia sepanjang lima musim bersama The Reds. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here