Tidak perlu bayar RM50,000, hanya RM2,000 sahaja

0
2

TIGA peniaga di Kota Bharu, Kelantan yang dikompaun sebanyak RM50,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berniaga melebihi masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan lalu hanya perlu membayar kompaun sebanyak RM2,000.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri, JKNK menerima semula kes tersebut dan nilai kompaun sebanyak RM2,000 ditetapkan kepada mereka.

Tiga individu itu adalah peniaga burger, Wan Mohd. Faisal Wan Kadir, 38, dari Kampung Rambutan Rendang; peniaga colek, Mohd. Azizi Mohd. Nor, 42, dari Kampung Chekok Tengah; dan peniaga kedai runcit di Jalan Chempaka, Mansah Marjurin, 47.

Dr Zaini berkata, berdasarkan siasatan, kompaun peniaga burger dikekalkan RM2,000 mengikut garis panduan dan tidak boleh dikurangkan kerana lelaki itu melakukan kesalahan kali kedua.

“Bagi peniaga colek dan kedai runcit, kompaun RM2,000 turut dikenakan, tetapi jika mereka membayar dalam tempoh tujuh hari akan menerima pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus.

“Selain itu, jika mereka dari golongan B40, kedua-duanya akan menerima 50 peratus lagi pengurangan. Berdasarkan pengurangan dan kelayakan, mereka hanya perlu membayar kompaun sebanyak RM500 sahaja,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, tiga peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa ketika tempoh PKP kira-kira jam 11 malam pada 25 April lalu. – Malaysiapost

Foto kredit Kosmo Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here