Dua Menteri Besar ‘runding’ jual beli Nilai 3 di media sosial

0
2

NAMPAKNYA perbincangan kedudukan sebenar Nilai 3 yang hangat dibincangkan netizen di media sosial telah menjadi serius sehinggakan menarik perhatian Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan.

Kedua-dua MB itu bergurau di laman Twitter seolah-olah bakal mengadakan rundingan serius untuk proses jual beli Nilai 3.

Ini berdasarkan ciapan MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terlebih dahulu yang menceritakan sejarah Nilai 3 sebelum diserahkan kepada Negeri Sembilan.

“Melihat ejekan yang melintas di garis masa mengenai Nilai 3 dalam wilayah Selangor, telah memutar ingatan saya mengenai Lukut yang pernah dalam jajahan pentadbiran Selangor sebelum diserah ke pemerintahan Sungai Ujong Negeri Sembilan dalam satu perjanjian pada tahun 1880,” ciapnya.

Ciapan tersebut menarik perhatian MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berseloroh seperti ingin menjual Nilai 3.

“Berapa harga hendak beli Nilai 3 ya?, he he he,” ciapnya.

Amirudin kemudiannya membalas dengan “Hahahahaha kena bincangan dengan jurunilai,” jelasnya.

Tidak berakhir di situ, Aminuddin pula membalasnya beserta emoji ketawa.

“Kejap saya ukur Nilai 3 dulu,” ciapnya.

Bagaimanapun, gurauan kedua-dua MB itu mendapat perhatian serius seorang pengguna Twitter bernama Adam Imran yang meminta hasrat menjual Nilai 3 itu tidak diteruskan.

“Saya gurau sahaja, haha,” jelas Aminuddin yang menjelaskan perkara sebenar.

Terdahulu, gurauan Nilai 3 telah menjadi wilayah Selangor tercetus di media sosial apabila netizen tidak berpuas hati pasangan selebriti sensasi Neelofa dan Haris Ismail tidak didakwa di Mahkamah Seremban atas kesalahan merentas negeri.

Pada 20 Mei lalu, Neelofa dan Haris telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, mengaku tidak bersalah dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Jun ini.

Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di kedai Naeem Carpet, Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Neelofa pula didakwa tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kertas siasatan berhubung dakwaan rentas negeri terhadap pasangan sensasi itu telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara semalam, untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Foto Kredit: Izman Pauzi/Blogspot

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here