MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim di Kuantan, Pahang berkuat kuasa 24 Mei hingga 6 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mukim berkenaan adalah Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar.
Ismail Sabri berkata, daripada 6,548 ujian saringan ke atas individu yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga kini, seramai 619 individu disahkan positif Covid-19.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh 10 hari dengan kadar kebolehjangkitan amat tinggi di ketujuh-tujuh lokaliti berkenaan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tujuh mukim berkenaan.
“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes dan mengenal pasti, melaksanakan pengasingan dan saringan bagi kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – Malaysiapost

