Kenapa tak ‘total lockdown’, ini penjelasan Ismail Sabri

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuatkuasa, dibuat secara bersama pelbagai agensi dan kementerian.

Menteri Kanan (Keselamatan) berkata ia hasil penelitian pasukan khas terdiri Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Bank Negara (BNM).

Beliau mengakui, ramai bimbang dan mencadangkan supaya ‘total lockdown’ dilaksanakan.

“Namun ramai juga khuatir jika ‘total lockdown’ dilaksanakan, mereka yang bergantung kepada pendapatan harian seperti peniaga kecil akan terkesan.

“Memahami seriusnya isu ini, kerajaan wujud pasukan khas utk meneliti perkara yang melibatkan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan mengapa kerajaan tidak melaksanakan ‘total lockdown’, namun menambah sekatan lebih ketat terhadap sektor sosial dan ekonomi.

Katanya lagi, kerajaan mahu seimbangkan antara keperluan harian rakyat dan ekonomi kerana tidak mahu lebih ramai rakyat terkesan, khususnya golongan miskin dan B40.

“Sebab itu kita berpandangan perkara ini perlu diambil kira. Ramai kata kenapa tak tutup syarikat dan industri besar, jika ditutup mungkin ada syarikat besar terpaksa tutup perniagaan, kesan juga kepada pekerja.

“Saya percaya ramai pekerja akan hilang pekerjaan (jika lockdown).. pada PKP 1.0 lebih 800,000 pekerja hilang pekerjaan. Jadi bagaimana rakyat nak bertahan, yang hilang kerja, hilang pendapatan harian.

“Jadi sebab itu kita tak buat total lockdown tapi ketatkan SOP termasuk sektor ekonomi supaya pergerakan selepas jam 8 malam dah tak ada lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here