PH Johor sokong mesyuarat Ahli Parlimen, Adun bincang isu Covid-19

0
1

PAKATAN Harapan (PH) Johor menjunjung kasih dan menyokong titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar supaya diadakan satu permesyuaratan antara Ahli Parlimen dan Adun negeri itu.

Gabungan itu berkata, mereka juga menerima baik kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bahawa permesyuaratan tersebut akan diadakan pada minggu depan.

Sehubungan itu, PH Johor menggesa lima tuntutan yang perlu dibincangkan segera dalam mesyuarat berkenaan.

“Antaranya menggesa kerajaan negeri melakukan saringan ujian Covid-19 secara besar-besaran serta percuma bagi mengatasi penularan wabak Covid-19 yang serius dalam komuniti.

“Ia kerana Kerajaan Johor boleh menggerakkan hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiatkan pemeriksaan Covid-19 supaya dapat mengesan jangkitan terutamanya antara mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong,

Malah, mereka juga mencadangkan penggunaan Antigen Rapid Testing (RTK-Ag) kerana ia dapat mencegah awal justeru membantu menganalisis situasi dengan lebih cermat dalam masa sama mengurangkan kos dan kesan jika dibandingkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan itu, mesyuarat dwipartisan Ahli Parlimen dan Adun Johor juga perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.

“Ini kerana pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang bersamaan 43.83 peratus berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin,” katanya.

Mereka berkata, pakej bantuan kepada Bangsa Johor turut perlu dititikberatkan oleh kerajaan negeri bagi membantu individu yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Bantuan ekonomi perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, Peniaga Kecil Sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang amat terkesan bahkan hilang pendapatan akibat PKP yang dilaksanakan kerajaan pusat.

“Selain itu, PH Johor juga menyambut baik prosedur terkini yang membolehkan warganegara Malaysia yang merupakan pelajar sedia ada dan pemegang pas jangka panjang untuk keluar negara, terutamanya ke Singapura.

“Justeru, Kerajaan Johor perlu mendesak agar kerajaan Malaysia – Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat krisis wabak pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, PH Johor turut menggesa penamatan segera Perintah Darurat agar institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/20/sultan-johor-titah-ahli-parlimen-adun-bincang-hal-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here