Syed Saddiq akui keliru cara kerajaan PN kerja

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui keliru dengan cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) bekerja bagi membendung wabak Covid-19.

Syed Saddiq berkata, beliau tertanya-tanya adakah kemungkinan untuk kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh esok.

“Saya memang benar-benar keliru dengan cara Kerajaan PN bekerja. Pertama, adakah ada kemungkinan kerajaan akan melaksanakan PKP esok?.

“Kalau esok nak laksanakan PKP, kerajaan sepatutnya umum dengan lebih awal. Sekurang-kurangnya, seminggu atau dua minggu lebih awal,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, perkara itu perlu diumum awal supaya rakyat boleh bersedia termasuk kepada majikan untuk menguruskan pekerja bekerja dari rumah.

“Banyak lagi sektor industri yang harus menyediakan persiapan rapi sebelum tutup operasi.

“Kalau esok laksana PKP, pukul berapa nak umum? Hal ini juga akan menjejaskan kadar kepatuhan rakyat kepada PKP,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kerajaan juga perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk setiap industri.

“Masalah yang berlaku pada PKP sebelum ini adalah banyak industri tidak ada panduan atau SOP yang jelas tentang cara mereka dibenarkan bekerja,” katanya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata, adakah kerajaan juga bersedia untuk membentangkan rancangan bantuan ekonomi kepada rakyat jika PKP dilaksana.

“Kalau kerajaan benar-benar akan umum PKP esok, pastikan ada 3 bantuan ekonomi utama.

“Ia termasuk pelaksanaan moratorium automatik secara menyeluruh. Bantuan khas ekonomi kepada keluarga B40 dan M40 dan Perlindungan kepada pekerja dan perniagaan yang terjejas dari PKP,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau mahu mengingatkan kerajaan bahawa pandemik ini bukan baru berlaku pada tahun ini, tetapi ia tular sejak awal tahun lepas.

“Sepatutnya kerajaan ada panduan apabila ingin melaksanakan PKP.

“Soalan akhir, apa fungsi darurat jika setiap kali kes meningkat, kerajaan umum PKP? PKP 2.0, PKP 3.0. Malangnya, Darurat gagal, PKP pun gagal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here