Menang kes dana RM114 juta, Najib buat sidang media bawah pokok

0
1

SELEPAS menang kes, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan sidang media di bawah pokok di kawasan tempat letak kereta di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Najib menerusi hantaran Facebooknya, berkata sidang media itu terpaksa dilakukan di kawasan berkenaan memandangkan pengurusan mahkamah tidak membenarkan ia berlangsung dalam premis bangunan.

“Biasanya, sidang media untuk menjawab soalan-soalan media berkaitan kes mahkamah boleh dibuat dalam bangunan mahkamah.

“Namun selepas kemenangan kita pagi ini berhubung dana RM114 juta yang disita dari kita, pengurusan mahkamah kata mereka diarahkan untuk tidak membenarkan sidang media berlangsung dalam premis bangunan,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, sidang media di kawasan terbuka itu juga dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“So, kita buat sidang media bawah pokok di car park. Tak apa. Bawah pokok pun bawah pokok. Kawasan open air memang lebih rendah risiko penularan Covid,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini untuk melucut hak wang yang didakwa milik Najib dan Umno yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd sebanyak RM114,164,393.44.

Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon terhadap pihak terbabit.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang perintah sama ada wang itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya atau disimpan oleh kerajaan.

Ketika membaca penghakimannya, Muhammad Jamil, berkata pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada kesalahan aktiviti wang haram atau dana yang diperoleh dari kesalahan pecah amanah (CBT). – Malaysiapost

Foto Kredit: Najib Razak/Facebook

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/20/kerajaan-malaysia-gagal-lucut-rm-114-juta-najib-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here