Kebenaran perolehi kemenangan hari ini – Najib

0
1

“ALHAMDULILLAH, kebenaran memperolehi kemenangan hari ini,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan melucut hak wang tunai lebih RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residences selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, Hakim mengarahkan dana tersebut dipulangkan serta-merta kepadanya namun berdasarkan nasihat peguam, beliau percaya kerajaan akan memfailkan permohonan mahkamah untuk menghalang tindakan tersebut secara sementara.

“Seperti yang saya telah beberapa kali jelaskan sejak 3 tahun dahulu, wang tersebut sebenarnya dipindah dari peti besi Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada malam kita (Barisan Nasional) kalah PRU14 dan diletakkan sementara di kondo sebelum disita pada hari kemudiannya.

“Kerajaan PH (Pakatan Harapan) tahu ianya dipindah dari PMO ke sana tapi mereka tetap sita sebab nak mainkan propaganda bahawa Najib korup dan curi ratusan juta cash dari 1MDB untuk simpan di rumah biarpun kondo tersebut bukan kediaman saya.

“Wang tersebut adalah sumbangan politik bagi kita menghadapi PRU14 dan ianya diterima dari pelbagai pihak termasuk VVIP amat terkenal,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Najib berkata, beliau telah menyerahkan senarai penyumbang dana tersebut kepada pihak polis dan penyumbang juga sudah mengaku apabila dipanggil polis.

Beliau juga tidak menolak jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai sejumlah wang tunai bagi tujuan berkempen untuk PRU14 dahulu.

“Mana mungkin BN tak ada cash tunai untuk berkempen dalam PRU14? Semua parti juga ada. Perbezaan cuma dalam beza saiznya. Kita tanding 222 parlimen dan 505 kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri). Jumlah 727. RM114 juta bahagi 727 kawasan adalah sebanyak RM156 ribu sahaja bagi setiap kawasan yang ditanding.

“Selama tiga tahun, saya bertahan walaupun difitnah dan dimaki pihak sebelah sana berhubung kes ini. Akhirnya terbukti juga bahawa apa yang saya jelaskan berulang-kali secara konsisten sejak tiga tahun dahulu adalah kebenaran,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residences selepas pilihan raya 2018.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan bahawa RM114 juta itu ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang tunai yang dirampas adalah dana yang diperoleh dari kesalahan pecah amanah (CBT).

Bagaimanapun mahkamah tidak mengeluarkan perintah untuk memastikan wang tersebut akan diberikan kepada pihak ketiga, Umno dan Najib. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/20/kerajaan-malaysia-gagal-lucut-rm-114-juta-najib-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here