BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mendesak supaya kadar vaksinasi negara dipercepatkan kerana mendakwa Malaysia kini sudah jauh ketinggalan berbanding negara lain.
Ahli Parlimen Pekan itu juga turut mempersoalkan sikap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang disifatkan ‘sensitif’ apabila menjawab mengenai isu berkenaan.
“Rakyat Malaysia dan saya mempersoalkan kadar vaksinasi yang rendah sekarang, tapi dia (Khairy) jawab jangan tengok kadar sekarang tapi tengok kadar masa datang yang akan meningkat.
“Setiap kali saya persoalkan kadar vaksinasi rendah dan minta dipercepatkan dia akan meroyan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Najib berkata, pada 18 Mac lalu beliau menunjukkan kadar vaksinasi Malaysia masih rendah walaupun program sudah hampir sebulan dijalankan.
“Dia (KJ) jawab pula bahawa kadar kita lebih laju berbanding Singapura dan negara-negara lain seperti Thailand, Korea Selatan, Filipina, Jepun dan Australia pun belum mulakan program vaksinasi.
“Lalu dia kata – ‘Persoal vaksinasi rendah, tetapi Najib sendiri tak ikut janji temu suntikan vaksin’ walaupun saya tak faham apa kaitan saya belum ambil vaksin dengan kadar vaksinasi yang rendah ketika itu,”sindir Najib.
Najib berkata, namun selepas dua bulan semua negara yang dinyatakan Khairy itu sudah memberi lebih banyak dos vaksin berbanding Malaysia.
“Lalu dia suruh kita tunggu fasa 3. Apabila tiba masa yang dijadualkan fasa 3 untuk bermula pada bulan Mei, dia jawab bekalan vaksin mungkin tak cukup untuk Fasa 3 mula seperti dirancang,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, program vaksinasi ini amat penting agar negara Malaysia capai imuniti kelompok secepat mungkin untuk bebas Covid.
Katanya, setiap hari ditangguh bermakna lebih nyawa terkorban dan pemulihan ekonomi tidak dapat bermula.
“Bajet untuk vaksin juga telah dinaikkan dari RM3 bilion kepada RM5 bilion yang dikorek dari tabung KWAN dibina masa saya PM.
“Yang umum jadual, dia. Yang kata bekalan akan stabil, dia. Yang janji kadar vaksinasi akan naik, dia. Yang dua kali umum tertangguh, dia juga.
“Tapi marah pula bila orang persoal kenapa kadar vaksinasi masih rendah,” katanya.
Najib berkata, beberapa negara lain kini dilihat mulai bebas wabak Covid-19 dan menarik balik arahan untuk memakai topeng pelitup muka.
“Stadium bola EPL juga sudah dipenuhi peminat. Sebaliknya kita di Malaysia menghadapi PKP 3.0 dan menjadi juara Covid ASEAN serta top 13 dalam dunia apabila kadar kematian, pesakit dalam ICU dan kes baru Covid pecah rekod hampir tiap-tiap hari.
“Sebab itu, ianya hak setiap Rakyat Malaysia termasuk saya untuk mempersoalkan kadar vaksinasi yang masih perlahan ketika ini dan tuntut ianya dipercepatkan,” katanya. – Malaysiapost

