KP JAKOA mesti berketurunan Orang Asli Semenanjung – Ramli

0
2

AHLI Parlimen Cameron Highland Ramli Mohd Nor mengutuk gerakan ‘Little Napolean’ birokrasi kerajaan dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar, apabila mahu melantik Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bukan dari kalangan warganegara berketurunan Orang Asli Semenanjung.

Menurutnya, jawatan Ketua Pengarah JAKOA pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan.

“Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan bermain politik.

”Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan pegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan Quota didalam perkhidmatan Awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuklah jawatan Ketua Pengarah JAKOA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, jawatan Ketua Pengarah JAKOA masih kosong setelah penyandangnya Prof Dr Juli Edo seorang Orang Asli Semenanjung Malaysia menamatkan kontraknya pada bulan April lepas.

Ramli yang juga wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap adil dalam lantikan jawatan tersebut dan prihatin menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengwartaan Tanah Orang Asli/Tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia.

“Dengan ini, saya juga menyarankan supaya agensi perlaksanaan JAKOA diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat.

“Kesempatan ini juga saya sebagai wakil rakyat Cameron Highlands menyarankan agar parlimen Malaysia bersidang secara prosedur operasi standard (SOP) ketat atau online agar isu berkepentingan rakyat dapat dibahas secara telus dan ada semak imbang berlaku atas apa apa keputusan dasar kerajaan yang melibat kan kepentingan rakyat,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here