Jumlah mangsa banjir di Melaka berkurangan, Sabah kekal

0
2

JUMLAH mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Melaka dilaporkan semakin berkurangan hari ini berbanding semalam.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Sabah masih berada di PPS terus kekal seperti semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra, berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Melaka itu berkurangan kepada 478 orang membabitkan 119 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 669 orang daripada 149 keluarga pada 4 petang semalam.

Katanya, semua mangsa banjir yang terlibat adalah dari 22 kawasan terjejas dan mereka ditempatkan di lapan PPS di seluruh Melaka.

“Bagi daerah Melaka Tengah 342 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di lima PPS, 102 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Jasin sementara 34 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di satu PPS di daerah Alor Gajah.

“Sebanyak 11 kawasan di daerah Melaka Tengah terjejas banjir manakala di Jasin melibatkan enam kawasan dan Alor Gajah pula lima kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hujan lebat seawal jam 4 pagi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dinaiki air semalam.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS kekal 72 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi tadi.

“Daripada jumlah itu, seramai 46 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Dewan DP Mohd Dun Banir, Beaufort.

“Manakala 26 mangsa lagi daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir dipercayai berlaku akibat keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan paras air di beberapa batang sungai melimpah dan menenggelamkan beberapa jalan serta kampung. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/18/mangsa-banjir-di-melaka-meningkat-2/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here