SEORANG bapa tergamak memberi racun rumpai kepada anak perempuannya berusia lima tahun hanya kerana marahkan isterinya yang mahu pulang ke kampung, dalam kejadian di Kampung Bundu, Beaufort, Sabah.
Difahamkan, suspek berusia 43 tahun itu dikatakan turut bertindak mencekik mangsa dalam kejadian jam kira-kira 12 tengah hari Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran di antara pasangan suami isteri terbabit.
Beliau berkata, isteri suspek menyatakan mahu pulang ke kampung bersama anak-anak ke Keningau, namun hasrat itu dibantah suaminya.
“Suspek yang berang kemudian memberi anaknya minum kopi yang sudah dicampur dengan racun rumput.
“Perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas diceritakan oleh anak sulungnya yang berusia lapan tahun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Yusoff Zaki berkata, tidak cukup dengan itu, suspek turut dilaporkan membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa.
Katanya, mangsa sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.
Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak),” katanya. – Malaysiapost

