Nurul Huda Abhar
JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini menafikan dakwaan pendaftaran tempahan bagi vaksin AstraZeneca (AZ) telah dibuka kepada orang ramai.
JKJAV menerusi hantaran Facebook mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan berita palsu tersebut yang kini tular di media sosial.
“Sila berhati-hati dengan berita palsu yang tersebar di media sosial mendakwa pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca kini dibuka kepada warganegara Malaysia.
“Pautan https://www.vaksincovid.gov.my/en/register hanya untuk pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan bukan untuk vaksin AstraZeneca.
“Sila rujuk website rasmi atau media sosial @JKJAVMY, Twitter, FB and Instagram untuk maklumat yang sahih,” tulis hantaran itu, hari ini.
Program suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada sukarelawan telah bermula pada 5 Mei lalu, dan pemberian meliputi individu yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor.
Pendaftaran temujanji vaksinasi dibuka pada 2 Mei lalu dan sebanyak 260,000 slot untuk vaksin habis ditempah hanya dalam tempoh kira-kira tiga jam sahaja. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

