Isu Palestin-Israel: Zahid puji ‘Tentera Bawang Malaysia’

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji tindakan rakyat Malaysia khususnya warga netizen yang memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

Beliau berkata, pelbagai kritikan diberikan netizen Malaysia di laman sosial ‘Israel Defence Force’ yang dianggap sebagai tindakan terpuji dan baik sekali gus dapat memberikan tekanan moral kepada penjajah Israel.

“Saya melihat rentetan kejadian ini, sokongan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak berbelah bahagi. Alhamdulillah. Sekalung pujian buat netizen Malaysia yang dikenali sebagai Tentera Bawang Malaysia.

“Pelbagai tagline yang diberikan di media sosial antaranya #IsraHell Koyak, #Israhell The Real Terrorist dan sebagainya,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau berharap tindakan itu mampu memberikan tekanan moral kepada penjajah Israel dan menyifatkannya sebagaimana yang dilakukan sahabat di zaman Rasulullah SAW.

“Rakyat Malaysia amat prihatin. Selain bantuan wang ringgit, sumbangan dana, keperluan asas dan makanan yang disalurkan menerusi NGO, sokongan di laman sosial juga hebat.

“Usaha ini mengambil pendekatan analogi seekor burung yang cuba memadam api membakar Nabi Ibrahim A.S.

“Kita akui tidak mampu berjuang di bumi Gaza dan Palestin tetapi usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu saudara seagama di sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau mengagumi usaha rakyat Malaysia itu walaupun ada segelintir yang mempertikaikan tindakan berkenaan.

Katanya, apa yang dilakukan umat Islam di Malaysia sebagai tanda sayang ke atas saudara seagama, Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, Semenanjung Gaza dan Palestin iaitu tanah tempat lahirnya para Nabi dan Anbiya’.

“Saya kagum dengan peranan rakyat Malaysia. Sokongan ini besar usahanya walaupun terdapat segelintir yang mempertikaikan usaha berkenaan.

“Bagi mereka ia tidak memberikan kesan besar setakat di media sosial. Jangan pandang remeh. Ia juga boleh dianggap perang media dan psikologi yang boleh menjatuhkan semangat rejim Zionis,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan umat Islam di Malaysia meningkatkan ilmu pengetahuan dan bacaan terhadap ilmu fitan, pelajari geopolitik, kuasai bidang sains, teknologi dan perubatan.

“Kita juga perlu menguatkan sistem pertahanan dan ketenteraan negara. Kita berjihad dengan cara memberikan sokongan kepada rakyat Palestin tetapi kita turut bertanggungjawab di atas tanah air sendiri.

“Nasib umat Islam pada hari dicengkam. Kita perlu memperbaiki politik dan ekonomi kita. Saya menyarankan jika sahabat saya memiliki tanah terbiar, usahakan ia bagi menghasilkan tanaman. Untuk persediaan di masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here