YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar muda Malaysia, Pavit Coran, 19, atas kejayaan muncul johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union (ESU) yang diadakan secara maya, Jumaat lalu.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang penuntut Universiti Multimedia kampus Melaka itu kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing,” menurut kenyataan menerusi Facebook Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pavit dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang serta terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan.
Pavit yang mewakili English Speaking Union of Malaysia (ESUM) muncul johan selepas menewaskan 35 lagi peserta dari 33 negara.
Dalam ucapan selama lima minit itu, Pavit bercakap mengenai peningkatan jumlah mereka yang mengalami kemurungan di seluruh dunia dan menggesa masyarakat serta kerajaan memberi perhatian terhadap isu berkenaan.
Ini merupakan kali kedua Malaysia memenangi anugerah Pemidato Terbaik pada kejohanan tahunan itu selepas Marina Tan pada tahun 2011. – Malaysiapost
Foto Kredit: Laman Web MMU & Facebook/IstanaNegara

