SITUASI Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 di Serdang kini semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit kategori tiga.

Kategori tiga pesakit Covid-19 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pada awalnya PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori tiga pada awal Januari lalu.
Namun kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan seramai 757 pesakit kategori tiga dan bercadang untuk menambah kapasiti ini kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang, selaras peningkatan angka pesakit Covid-19 terkini.
“Oleh yang demikian, pesakit kategori tiga ditempatkan di dewan-dewan berdekatan dengan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan, manakala pesakit kategori satu dan dua yang stabil ditempatkan di dewan DG.
“Bagaimanapun, pihak PKRC cuba sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, Selangor mencatatkan 1,507 kes baharu Covid-19 iaitu tertinggi dalam negara, manakala Kuala Lumpur dengan 398 kes iaitu ketiga tertinggi. – Malaysiapost
Foto Kredit: Twitter/@RiyadhAshiblie

