Pencerobohan ganas Israel: Agong zahir rasa dukacita, sedih

0
1

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dan sedih susulan pencerobohan dan serangan ganas tentera rejim Israel ke atas Masjid Al Aqsa dan Semenanjung Gaza.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin di hari-hari terakhir Ramadan, sebagai perbuatan keji dan tindakan amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri mengenai Palestin semalam, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui bersama Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa jerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincang isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan pada hari ini.

“Seri Paduka Baginda bertitah, rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin, ke arah mencapai aspirasi negara Palestin merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Magdis sebagai ibu kota Palestin.

“Ini juga selari pendirian dan prinsip Kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bahagi menyokong usaha penubuhan negara Patestin berdaulat dan merdeka, selaras undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda turut menitahkan masjid dan surau di negara ini serta menyeru rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT selepas solat fardu Maghrib esok, 17 Mei, untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat Rejim Israel,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook/Istana Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here