Himpunan Parit Raja: Pemuda Umno Johor tawar khidmat guaman percuma

0
1

PEMUDA Umno Johor menubuhkan satu Sekretariat Peguam bagi khidmat guaman percuma kepada individu yang ditahan polis berkaitan perhimpunan di Parit Raja, Batu Pahat, Rabu lalu.

Naib Ketuanya, Mohd Fared Khalid, berkata bantuan khidmat guaman percuma tersebut dibuat bukan bersandar kepada agenda tertentu atau menyokong tindakan yang dilakukan semua individu terbabit.

“Ia sebagai inisiatif membantu keluarga yang terkesan dan tidak memiliki keupayaan kewangan bagi yang mahu mendapatkan khidmat guaman, ditambah dalam keadaan suasana Aidilfitri, Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

“Bantuan ditawarkan Pemuda Umno Johor ini juga bukan berniat mengganggu pihak berkuasa terutama polis yang masih menjalankan siasatan terhadap insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tujuan penawaran bantuan khidmat guaman itu sebagai meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dan mungkin memerlukan khidmat peguam bagi mewakili anak mereka.

“Tawaran Sekretariat Peguam Pemuda Umno Johor ini akan melibatkan nasihat guaman, representasi peguam dan urusan surat menyurat, manakala kos lain akan dibiayai keluarga mangsa.

“Sehubungan itu, ahli keluarga yang mahu mendapatkan bantuan ini boleh menghubungi Pemuda Umno Johor atau Sekretariat Peguam Pemuda Umno Johor di talian 012-700 7579 selain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penawaran bantuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda Umno Johor turut mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk tidak memperalatkan anak muda untuk tujuan sandiwara atau gimik politik.

“Mereka juga diingatkan untuk tidak mudah dipergunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehingga semalam, kira-kira 20 individu ditahan kerana rusuhan, membakar suar serta menaikkan kain rentang ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat beberapa hari lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here