POLIS menafikan berlaku perhimpunan solidariti oleh sekumpulan pemuda bermotosikal bagi membantah penahanan suspek kejadian menaikkan kain rentang bertulis “Kerajaan Gagal” dan pembakaran suar di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.
Ia susulan tular satu rakaman berhubung dakwaan berlaku perhimpunan solidariti tersebut oleh pengguna media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pemantauan mendapati tiada kejadian seperti dalam rakaman tersebut di kawasan yang didakwa iaitu di Jalan Parit Botak, Batu Pahat.
“Semakan juga mendapati, video tersebut dipercayai dirakam pada 13 Mei 2021 antara jam 5 petang hingga 7 malam, sebelum tangkapan dibuat ke atas mereka yang disyaki terlibat dalam kejadian di Parit Raja.
“Polis menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam seramai 20 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung rusuhan dan menaikkan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja.
Kesemua mereka berumur 16 hingga 28 tahun itu adalah penduduk setempat. – Malaysiapost

