POLIS mengesahkan sambutan dan jamuan raya di rumah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti dikongsi di Facebook Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, hanya melibatkan ahli keluarganya yang tinggal di rumah sama.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata ia berdasarkan keterangan petugas yang menjaga pos kewalan kediaman rasmi tersebut kelmarin, iaitu pada 1 Syawal.
“Tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran facebook yang telah tular di media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, Mohamed Azmin serta ahli keluarga dan anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi lain akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Pengguna media sosial dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan,” katanya.
Terdahulu Mohd Fadzil berkata pada jam 3 petang semalam, satu laporan polis diterima berkenaan hantaran dalam Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen.
Katanya, ia berhubung dakwaan ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi merai sambutan Aidilfitri.
Kejadian tersebut didakwa berlaku kira-kira jam 8 pagi pada raya pertama di kediaman Mohamed Azmin di Presint 10, Putrajaya. – Malaysiapost

