Remuk hati bekas pemain hoki beraya di penjara

0
1

TERJEBAK dengan syabu pada usia awal remaja telah memusnahkan karier bekas pemain hoki remaja Perlis.

Adam (bukan nama sebenar), 24, terpaksa melupakan cita-cita menyarung jersi kebangsaan meskipun ia selangkah lagi menjadi kenyataan.

Semuanya bermula ketika dia kali pertama ditahan polis di rumahnya empat tahun lalu.

“Masa tu saya berumur 20 tahun, memang aktif bermain hoki untuk negeri dan saya telah dapat surat untuk hadir pemilihan skuad remaja kebangsaan pada minggu depannya.

“Semuanya hancur bila saya ditahan polis. Nama saya telah dipetik oleh kawan yang terlebih dahulu ditangkap. Ayah, ibu dan ahli keluarga menangis, kecewa dengan saya. Tak sanggup saya lihat muka mereka pada masa itu,” katanya kepada Malaysiapost di Ghulam Recovery Centre di Kajang baru-baru ini.

Menurut Adam, selepas itu dia bukan sahaja digugurkan dari ujian pemilihan skuad remaja kebangsaan malah disingkirkan daripada skuad Perlis.

“Kemudian saya telah dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan merasai pengalaman pahit berpuasa dan menyambut Aidilfitiri kali pertama di sebalik tirai besi.

“Nak buat macam mana, menyesal pun dah tak berguna, syabu buatkan karier hoki saya musnah. Rezeki saya setakat itu sahaja.

“Terpaksalah masuk penjara, hidup di penjara memang perit. Apatah lagi saya masih muda masa itu, paling manja dengan ibu ayah… Kenangan sukar dilupakan bila berpuasa dan sambut raya dalam penjara.

“Tak sama langsung sambutannya. Kalau hati saya remuk, ibu, ayah dan adik beradik lagi remuk. Paling tak dapat dilupa, itulah raya pertama saya tak dapat salam, cium tangan ibu dan peluknya,” katanya sambil mengalir air mata.

Kata Adam, dia amat beruntung kerana keluarganya tidak pernah menyisihkannya, malah sentiasa memberi nasihat, galakan dan dorongan supaya dapat berubah.

“Ibu dan ayah datang melawat saya masa Hari Raya. Tapi itu pun selepas beberapa hari kita sambut raya apabila penjara buat program sambutan banduan dengan waris.

“Dapatlah saya mengubat rindu, walaupun tak boleh bersentuh, peluk, cium ibu dan ayah masa tu. Sangat sedih masa tu, ada depan mata tapi mampu melihat saja,” katanya dalam esakan tangis.

Menurut Adam, selepas tamat menjalani hukuman, empat bulan selepas itu dia ditangkap sekali lagi atas kesalahan sama.

“Kali ini hukuman lama sedikit iaitu setahun dan penjara tetap sama. Dapat lagi berpuasa dan berhari raya di penjara,” katanya.

Selepas kali ketiga dipenjara, Adam bertekad untuk berubah dengan menyertai program i-Kembali di Ghulam Recovery Centre.

“Kali kedua saya dibebaskan, lama dan setahun selepas itu saya ditangkap lagi. Tapi kali ini atas kesalahan memiliki barangan curi. Saya dan kawan mencuri motosikal, ini semua pasal syabu, tak ada duit nak beli dadah, curi motosikal orang.

“Saya dipenjara setahun lagi. Kali ini di Penjara Taiping, dua kali sebelum ni di Penjara Kedah.

“Ketika inilah ada seorang pegawai penjara menasihatkan saya sertai program ni, saya masih muda dan berpeluang untuk berubah dan berjaya dalam kehidupan.

“Akhirnya saya sampai di sini sejak awal tahun ini. Alhamdulillah saya kembali bersemangat dengan kehidupan. Saya berjanji akan berubah selamanya,” kata Adam.

Justeru, Adam berharap masyarakat jangan memandang serong kepada golongan sepertinya kerana tiada siapa pun pernah bercita-cita untuk menjadi banduan.

“Saya berharap masyarakat bantu kami, jangan hina kami. Kami pun tak pernah sangka jadi banduan. Nasib kita lain, tapi pintu taubat dan kembali ke jalan benar sentiasa terbentang luas kepada sesiapa yang pernah tersalah langkah.

“Alhamdulillah, hasil program ini saya dapat kerja yang sesuai. Saya kembali yakin dengan diri saya, yang penting saya tekad berubah ke jalan lebih baik selama-lamanya. Tak nak lagi raya di penjara, tak nak lagi bagi ibu menangis, ayah sedih dan adik beradik murung terhadap saya.

“Tapi raya tahun ni sedih juga sebab tak dapat balik kampung di Perlis. Tak boleh rentas negeri. Saya raya di Sepang bersama kawan-kawan,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here