Rampas kediaman Palestin, satu penjajahan – Ahmad Faizal

0
1

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tindakan zionis Israel merampas kediaman rakyat Palestin sebagai satu ‘penjajahan’.

Beliau berkata, analogi mudah boleh dibuat dengan membayangkan pada suatu hari, sebuah pasukan penjajah masuk ke rumah kita dan mengusir kita dengan menggunakan paksaan semata-mata.

“Penjajah ini mula hidup di kediaman yang pernah menjadi rumah kita dahulu.

“Ketika kita berjuang untuk merebut kembali harta benda kita, kita diserang dan dibunuh dengan kejam bagi tuntutan yang dibuat terhadap apa yang dimiliki kita.

“Selama ini dunia hanya memerhatikan, inilah sebabnya mengapa dunia tidak hanya cukup dengan mengutuk serangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat sivil global, diharapkan kumpulan masyarakat sivil Malaysia dapat membantu mengembangkan lagi naratif bahawa isu sebenar bagi konflik berkenaan adalah berkenaan pencurian tanah dengan paksaan yang kejam.

“Lebih banyak tekanan perlu diberikan kepada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan resolusi yang dibuat tidak terkira banyaknya.

“Sehinggalah ke saat itu, pencurian tanah dan harta benda Palestin akan berlanjutan sehingga tidak ada lagi tanah untuk dicuri,” katanya.

Tambahnya, terdapat naratif kuat yang disebarkan oleh media global bahawa konflik ini pada dasarnya adalah perang agama khususnya peningkatan keganasan terbaru itu dimulakan pada Ramadan.

“Namun, kebenarannya adalah agama merupakan penyamaran mudah bagi suatu hakikat pencurian tanah oleh sang pencuri melalui kekuatan penindasan.

“Lebih memburukkan lagi keadaan terdapat keganasan yang melampau dilakukan oleh pertubuhan Zionis terhadap rakyat Palestin dan ini dibuktikan dengan jumlah kematian terbaru yang lebih daripada 100 orang di wilayah Gaza, termasuklah sembilan kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here